.

Misi Bantuan Pasca Banjir (Gelombang Kedua)

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label:
  • RANTAU PANJANG, 20 Dis – “Misi bantuan banjir ini adalah julung kalinya diadakan di Kelantan oleh I-Medik Kelantan dengan kerjasama SMU (A) Al-Kauthar, Peringat dan agensi ISMA yang lain iaitu PEMBINA dan KRIM serta penglibatan pelajar-pelajar dari UM, UMK, USM dan UiTM Kota Bharu. Apa yang menarik tentang misi pada kali ini, kami berhubung terus dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang untuk mengenal pasti lokasi banjir dan yang memerlukan bantuan,” kata Dr. Wan Muhamad Riduan Wan Jaafar, selaku Pengerusi I-Medik Kelantan merangkap Pengarah Misi Bantuan Banjir 2013.

    Walaupun keadaan banjir sudah kembali pulih dan semua pusat pemindahan telah ditutup, sukarelawan tetap dihantar ke Rumah Warga Tua Banggok Kulim, Masjid Lubuk Stol dan Masjid Guar Dalam untuk aktiviti mencuci dan membersih kawasan sekitar yang dilanda banjir. Turut serta dalam aktiviti ini ialah anggota-anggota Bomba dan Penyelamat sendiri serta 20 anggota Jabatan Pertahanan Awam Rantau Panjang dan 40 anggota Angkatan Tentera dari Kem Tentera Tumpat.

    I-Medik pula menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk kampung di ketiga-tiga pusat terbabit dan ini mendapat sambutan yang memberangsangkan. Antara pemeriksaan yang ditawarkan melibatkan penyakit seperti demam, sakit tekak, batuk selsema, sakit kulit, tekanan darah tinggi, kencing manis dan penyakit yang berkaitan dengan bawaan air banjir yang lain. Ubat-ubatan juga turut dibekalkan secara percuma.

    Di samping itu, lawatan dari rumah ke rumah penduduk miskin yang jaraknya beberapa ratus meter dari Sungai Golok juga telah diadakan di penghujung misi bagi menyampaikan sumbangan bantuan makanan asas seperti beras, gula, biskut, milo dan air mineral. Bantuan makanan juga disumbangkan kepada penduduk-penduduk yang memerlukan di Masjid Pondok Guar Dalam oleh Dr. Wan Muhd Riduan. Diharapkan dengan bantuan makanan ini dapat meringankan beban mereka yang memerlukan.

    Misi ini diakhiri dengan penyampaian hadiah penghargaan oleh pihak peganjur kepada pihak bomba dan penyelamat serta agensi-agensi lain kerana telah berjaya merealisasikan usahasama dalam misi bantuan banjir ini. Semoga penganjuran misi bantuan ini sedikit sebanyak membantu mangsa-mangsa banjir yang lebih memerlukan pertolongan tidak kira dari segi tenaga, kesihatan mahupun keperluan harian. Selain itu,  diharapkan juga aktiviti kemasyarakatan seperti ini dapat mendekatkan golongan belia dengan masyarakat setempat.

    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net