.

Keadilan dalam Islam

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in

  • Kalimah  “Keadilan”   menjadi perkataan penting dalam perbualan sekarang ini. Samada perbualan secara maya, ceramah umum, kuliah dan lain lagi. Saban hari keadilan menjadi tajuk perdebatan hangat dalam semua media , cetak atau eletronik. Pelbagai dimensi keadilan hebat diperkatakan. Kekeliruan yang timbul  ialah apabila pengertian keadilan diberi mengikut juzuk-juzuk tertentu lalu didakwa inilah keadilan dalam Islam. Ibarat orang buta memegang gajah pada kakinya, maka didakwanya gajah macam tiang yang besar. Ada yang pegang belalai , maka didakwanya gajah macam tali. Semua pengertian mengikut kefahaman dan aliran masing-masing. Malangnya orang Islam sendiri memberi pengertian dan menerima keadilan dalam Islam mengikut aliran  dan kefahaman orang lain walaupun halatuju mereka bertentangan dengan Islam.

     Ada yang mengatakan keadilan ialah kebebasan rakyat untuk memilih pemerintah. Penyelewengan dan kecacatan dalam pilihanraya mesti diperangi demi keadilan. Kita sama-sama berjuang untuk menegakkan keadilan. Inilah keadilan yang dituntut oleh Islam. Sebarang penyelewengan dalam pilihanraya menapikan keadilan Islam sedangkan Islam menuntut keadilan. Seolah-olah digambarkan bahawa keadilan dalam pilihanraya adalah keadilan dalam Islam. Maka kita perlu bersama untuk menuntut keadilan, tanpa mengira faktor agama dan hukum syarak  kerana halatuju kita telah bertepatan dengan keadilan Islam. Bersih dalam pilihanraya adalah keadilan.
    Kita tidak menapikan perlu bersih dalam pilihanraya demi keadilan tetapi kerjasama yang tidak bersih ikut syarat syarat syarak perlu juga dilihat.. Lebih malang lagi apabila dikatakan inilah tuntutan keadilan dalam Islam dengan pelbagai hujjah naqli dan akli dikemukakan.

     Ada yang mengatakan keadilan  ialah apabila kerajaan dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat berbanding dengan kerajaan terdahulu. Perbelanjaan kerajaan negeri semakin meningkat untuk kesejahteraan rakyat. Maka didakwa inilah keadilan dalam Islam.  Belanja berhemat, pendapatan kerajaan negeri bertambah  maka dikatakan inilah keadilan Islam.
    Ada yang mengatakan keadilan ialah apabila peruntukan kerajaan negeri untuk institusi Islam semakin bertambah berbanding dengan kerajaan dahulu.  Peruntukan untuk Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam dan lain-lain institusi Islam semakin banyak. Inilah keadilan yang dituntut oleh Islam.  Pemerintahan yang didakwanya ikut khalifah Umar Ab Aziz. Sebab  kita lihat timbul pelbagai istilah baru , sosialis Islam, demokrasi Islam, kapitalis Islam dan lain-lain lagi . Ini kerana mereka melihat Islam dalam bentuk yang juzuk-juzuk. Persamaan kebaikan yang ada dalam sosialis dan Islam  maka dikatakan sosialis Islam. 

    Perlu ditegaskan bahawa keadilan dalam Islam ialah apabila syariat  Islam didaulatkan. Hakimiah lillah Taala. Agenda Islam mesti diutamakan. Bukannya keadilan Islam jika hanya mengambil beberapa juzuk-juzuk kebaikan yang ada lalu didakwa inilah keadilan Islam yang mesti diperjuangkan bersama dengann orang kafir  dan didakwa inilah keadilan Islam. Lebih-lebih lagi mereka membawa agenda yang amat bertentangan  dengan Islam. Mereka yang membawa agenda liberal, plural dan lain-lain lagi . Sebut saja syariat Islam dah melenting  dan mencabar.

     Keadilan dalam Islam  ialah kembalikan Islam berdaulat di bumi ini dengan fikrah dan jalan lurus bukannya jalan tersirat dan tersembunyi untuk menjaga hati orang kafir dan mengistilahkan Islam dengan pelbagai nama baru agar perkataan Islam, syarak dan hudud tidak disebut untuk mengelabui orang kafir. Dijenamakan Islam dengan pelbagai istilah baru  alasannya   berdakwah bil hikmah. Lalu diambil dalil-dalil naqli sebagai penguat kepada istilah-istilah baru untuk Islam .
    Islam perlu dinyatakan sejelas-jelasnya. Kemenangan Islam adalah janji Allah, Allah tidak memungkiri janjinya. Kemenangan diberi apabila telah mencukupi syarat-syarat disisi Allah walaupun dikala itu Islam masih lemah dari segi material dan lemah pada pandangan manusia. Alangkah malunya kita  menagih pertolongan orang kafir untuk kemenangan Islam. Seolah-olahnya jika tidak ada kerjasama dan pertolongan orang kafir maka Islam tidak akan berjaya di Malaysia. Seolah-olah orang kafir sebagai penyempurna Islam di Malaysia. Tanpa mereka bersama, Islam gagal di Malaysia. Sedangkan ayat-ayat Allah mengatakan , Allah akan menyempurnakan agamanya walaupun dibenci oleh orang kafir

    Wallahu a`lam.

    YDP Isma Kelantan
    merangkap
    YDP Majlis Syura Isma Malaysia

    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net