.

Sebuah Kesetiaan

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label:
  • Setia?

    Kalam yang senang dilafazkan dan sukar direalisasikan. Kalam ini jualah menjadikan seorang insan teguh pendiriannya dan ada jua yang berpaling tadah dari janjinya. Setia seorang hamba pada penciptaNya, setia seorang anak pada ibu dan ayahnya, setia pada seorang suami, setia pada sahabatnya…

    Konsep setia ini sudah lama lahir. Sejak dari penciptaan Adam Hawa dan sehingga kini menjadi satu ikrar suci yang dilafazkan oleh mana-mana insan yang bergelar manusia. Bicara setia yang ingin diutarakan di sini cukup tersirat kerana siapa sahaja boleh memandangnya menerusi kaca mata yang berbeza. Andai setia dilafazkan, maka satu perjanjian telah dimeterai.

    Setia kepada Allah, ke mana hala tujunya?

    Allah adalah pencipta agung yang menjadikan kita, manusia dan sekalian makhluk yang lain. Penciptaan kita tidak lain dan tidak bukan hanya sebagai khalifah di atas muka bumi ini,

    “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah Al-Baqarah; ayat 30)


    Di samping itu kita juga dijadikan semata-mata untuk beribadat kepadaNya. Tuhan sekalian alam yang mentadbir cakerawala adalah Allah SWT. Kita adalah hambaNya yang diciptakan untuk perlaksanaan tugas-tugas tersebut. Kesetiaan kepadaNya ataupun lebih tepat lagi diistilahkan sebagai taat dan patuh kepada suruhan dan meninggalkan laranganNya adalah satu kemestian dan kewajipan kepada kita. Dan Dialah jua yang menurunkan segala nikmat dan rezeki kepada kita.

    “Dialah yang memperlihatkan kepadamu tanda-tanda (kekuasaan)-Nya dan menurunkan untukmu rezki dari langit. Dan tiadalah mendapat pelajaran kecuali orang-orang yang kembali (kepada Allah). ” (Surah Al-Mu’min; ayat 13)

    Semestinya kepada Dialah kita menunjukkan kesyukuran tanda terima kasih kita kepadaNya atas kurniaanNya yang maha besar dan maha agung. Beribadatlah dan tunduk serta patuhlah kepadaNya tanda kesetiaan kita sebagai hambaNya yang singgah seketika di bumi Allah SWT meminjam segala nikmat yang Dia telah kurniakan.

    Setia pada kedua orang tua, di mana kita sebenarnya?

    Ibulah yang melahirkan dan menyusukan kita. Mengandungkan kita selama 9 bulan 10 hari. Dan ayah jualah menjaga pakaian dan makan kita, menyediakan nafkah buat keluarganya. Mereka jugalah yang telah memberikan pendidikan dari segi keduniaan yang juga akhirat supaya kita lebih terpandu dengan ujian dunia dan ganjaran yang bakal kita peroleh di akhirat kelak. Kesetiaan kita kepada mereka menjadikan kita anak yang soleh dan jua solehah. Keikhlasan berbakti kepada mereka menjadikan hidup ini sentiasa diberkati oleh Allah SWT.


    “Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada dua orang ibu- bapanya. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya. Hanya kepada-Ku-lah kembalimu, lalu Aku kabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah Al-Ankabuut; ayat 8 )

    Janganlah sesekali menderhakai mereka. Cuba renungkan kembali kesusahan mereka menjaga, mendidik kita sehingga kita mampu bergelar insan yang mulia dan sampai ke tahap kejayaan kita sekarang. Tanpa mereka jua, adakah wujudnya kita di muka bumi ini? Balaslah jasa mereka dan sentiasa doakan kesejahteraan hidup mereka dunia dan akhirat tanda setianya seorang anak kepada mereka yang telah melahirkan kita.

    Setia kepada sahabat, perlu disemai.

    Sahabat adalah insan yang sentiasa berada di sisi susah dan senang kita. Sahabat juga tidak akan memburukkan kita di belakang kita. Sentiasa akan menolong dan memberi sokongan kepada kita. Sahabat yang terbaik adalah apabila dilihat wajahnya membawa kita mendekati Allah SWT. Keindahan dalam hubungan persahabatan dapat dilihat melalui kesetiaan seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain.


    Contoh yang agung adalah para sahabat Rasulullah SAW. Sahabat baginda yang saya ingin utarakan adalah Abu Bakar As-Siddiq. Kepercayaan yang sepenuhnya kepada Rasulullah SAW menjadikan beliau antara insan yang pertama memeluk Islam di zaman itu. Keluhuran peribadinya dalam membenarkan setiap apa yang keluar dari Rasulullah SAW menjadikan dia adalah antara insan yang mempercayai Israk dan Mikraj baginda SAW.

    Maha Suci Allah, Subhanallah yang telah menciptakan keindahan dalam bersahabat itu sendiri. Ada satu pepatah dari Saidina Ali sendiri yang menerangkan persahabatan ini, “Selemah-lemah manusia ialah orang yg tak boleh mencari sahabat dan orang yang lebih lemah dari itu ialah orang yg mensia-siakan sahabat yg telah dicari.” (Saidina Ali)

    Hargailah sesuatu persahabatan. Andai dilukai, renungkan kembali. Pasti adalah silapnya dalam persahabatan kita itu. Doakan terbaik buat sahabat kita. Andai kita berjaya, pasti kita juga ingin melihat mereka berjaya. Setialah pada sahabat kita itu.

    Setia pada suami, rumah tangga abadi.

    Saya masih lagi belum berpengalaman soal ini. Jadi, tiada sebarang huraian panjang di sini. Mungkin orang-orang yang sudah berumah tangga lebih fasih dan lebih tahu selok-belok dalam hal rumah tangga. Dan pesanan saya, taatlah pada suamimu kerana pada merekalah keberkatan dan keredhaan Allah SWT. Maka wanita itu telah menjadi tanggungjawab si suami. Nafkahilah dia sebaiknya kerana wanita itulah yang akan melahirkan zuriat yang soleh solehah yang akan meneruskan generasi gemilang Islam itu sendiri.


    “Dialah Yang menciptakan kamu dari diri yang satu dan dari padanya Dia menciptakan isterinya, agar dia merasa senang kepadanya. Maka setelah dicampurinya, isterinya itu mengandung kandungan yang ringan, dan teruslah dia merasa ringan (beberapa waktu). Kemudian tatkala dia merasa berat, keduanya (suami-isteri) bermohon kepada Allah, Tuhannya seraya berkata: “Sesungguhnya jika Engkau memberi kami anak yang saleh, tentulah kami termasuk orang-orang yang bersyukur.”
    (Surah Al-A’raaf; ayat 189)

    Pernikahan itu sebenarnya yang menyingkap suatu rahsia yang antara mereka sahaja yang mengetahui. Terimalah seadanya. Buruk baik perangainya, itu adalah ujian dalam pernikahan. Bukankah sempurna setiap ciptaan Allah itu. Saling melengkapi. Selamat berumah tangga sahabat sekalian.

    Setia banyak istilahnya. Sekadar ini sahaja perkongsian dari saya. Buat saya jua. Pesanan buat diri. InsyaAllah. “Dan saya berdoa, agar kesetiaan kepadaNya sentiasa bertambah, kesetiaan kepada umi dan abah saya jua sentiasa dalam redhaNya, dan setia dalam bersahabat agar indahnya dalam persahabatan itu sendiri wujud. dan buat bakal suami saya, saya pasti akan setia padamu. Doakan kebahagiaan kita andaipun, saya sendiri belum mengetahui siapa anda sebenarnya… Amin.”

    Segala yang baik dari Allah SWT, segala yang buruk jua dariNya dan disandarkan pada kelemahan saya. Wassalam.

    Nur Akmal Binti Ismail
    Aktivis ISMA-INDIA (Perubatan)

    Dilulus terbit oleh;
    Media ISMA Kelantan


    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net