.

KRIM Kelantan Tawan Puncak Gunung Tebu

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label: ,
  • Besut 27-30 April:- Bertempat di Lata Belatan, Jerteh, Besut Terengganu, seramai 38 ahli KRIM Kelantan telah berjaya mengikuti program perkhemahan yang amat mencabar. Mukhayyam ini menampilkan gabungan mantap ahli KRIM dari Sekolah Menengah Arab Ugama Al-Kauthar, Peringat dan Maahad Darul Anuar, Pulau Melaka.

    Peserta bergambar kenangan di puncak Gunung Tebu

    Para peserta yang hadir adalah terdiri dari pelajar tingkatan 4 dan 5 yang mempunyai daya kepimpinan yang tinggi. Tepat jam 3 petang mereka bertolak dengan menaiki bas dari Kota Bharu dan tiba di tapak perkhemahan Lata Belatan pada jam 5 petang.

    Setelah selesai solat asar berjemaah, semua peserta dibahagikan mengikut kumpulan masing-masing. Seterusnya tugasan membina khemah dan memasak (mengikut kumpulan) telah dilaksanakan dengan jayanya sehingga jam 7 petang (selasa). Suasana tepi Gunung Tebu yang damai dan penuh nyaman mengeratkan lagi (ukhuwwah) tali persaudaraan sesama peserta.

    Usai solat maghrib, bacaan mathurat dan isya' berjemaah para peserta disajikan dengan sedikit (muhaadhoroh) pembentangan bertajuk "dosa" yang disampaikan oleh ustaz Nor Faizol bin Nuzam AJK ISMA Mesir yang baru pulang ke Malaysia.

    Keesokan paginya, pada jam 5 pagi, solat tahajjud 2 rakaat dan witir 1 rakaat serta bacaan berkumpulan dari surah Nuh sebelum solat subuh mengiringi permulaan program lasak yang akan ditempuh oleh semua peserta.

    Sejurus selepas solat subuh berjemaah, bacaan zikir mathurat "jamai'ii" (di dalam air sungai) "kena rendam" dan sarapan (mengikut kumpulan masing-masing) semua peserta berkumpul di tempat khas untuk ice-breaking, nasyid katibah, tazkirah ringkas dan mendengar taklimat pendakian yang telah disampaikan oleh penunjuk jalan.

    Tepat jam 8.15 pagi, selepas membaca doa semua peserta bertolak mendaki Gunung Tebu setinggi 9000 meter. Sepanjang pendakian semua peserta diwajibkan menghafal 5 hadith pilihan dari hadith 40. Tepat jam 1.00 tengahari semua peserta selamat sampai dipuncak Gunung Tebu, makan tengahari dan solat zohor berjemaah dilaksanakan dengan penuh khusyuk oleh semua peserta.

    Solat zohor berjemaah di puncak Gunung Tebu


    Pada jam 2.00 petang semua peserta bergerak turun dan selamat sampai ke tapak perkhemahan pada jam 4.15 petang. Kelajuan turun naik pendakian yang telah dilaksanakan oleh peserta amat mengejutkan para penunjuk jalan dan para pekerja kem Lata Belatan. Mereka tidak pernah melihat kesungguhan pendakian seperti ini... Para peserta lain sebelum ini jika naik pada waktu pagi, mereka akan sampai ke kaki gunung paling awal jam 9 malam.

    Seterusnya semua peserta solat asar berjemaah dan menjamu selera (dalam keletihan), kem komandan dan urusetia bertindak sebagai tukang masak pada petang itu. Jiwa kental peserta tidak luntur setakat itu sahaja, selepas solat maghrib berjemaah, semua peserta diarahkan ke dalam sungai (rendaman urat) sambil membaca mathurat disaksikan bulan yang mengamban penuh. Selepas bacaan zikir, mandi, semua peserta solat isya' berjemaah di atas pepasir halus yang ada di tepi sungai.

    Usai solat isya' yang diimamkan sendiri oleh kem komandan, semua peserta mendengar tazkirah iman (dalam gelap malam "hanya bulan yang menerangi suasana") yang telah disampaikan oleh kem komandan kepada penjelasan mengenai persediaan diri pemuda untuk bertemu dengan Allah.

    Selepas itu peserta mengambil peluang untuk berebut kemenangan kumpulan dalam 3 permainan air. Tepat jam 10.00 malam, semua peserta bergerak pulang ke tapak perkhemahan dan menjamu sarapan ringan (masak sendiri).

    Urusetia dan kem komandan di puncak bukit

    Pada jam 11.00 malam, siren berkumpul kedengaran, semua peserta diarahkan hadir ke tempat berkumpul, program naik bukit pada waktu malam akan dilaksanakan, sedikit penerangan telah disampaikan oleh pihak kem. Program networking ini (tanpa lampu suluh, mendaki bukit) tamat pada jam 1.20 pagi.

    Saudara Mohd Razib Abdul Rahim (kanan) Pengarah KRIM Kelantan
    Bersama AJK KRIM Ustaz Saiful Jihadi Yusuf Al-Hafiz

    Dalam keadaan yang amat letih, tapi seronok, semua peserta pergi ke khemah masing-masing untuk berehat.

    Pagi hari ketiga, tahajjud, solat subuh berjemaah, zikir mathurat, sarapan pagi, dan tazkirah bertajuk "pemuda beriman" telah disampaikan oleh Ajk Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Kelantan. Suasana di atas batu, di dalam sungai... suasana yang amat menarik, semua peserta khusyuk mendengar sentuhan-sentuhan iman yang telah disampaikan oleh yang berbahagia ustaz.

    Sejurus selepas tazkirah... Sessi permainan di dalam air bermula... berakhir pada jam 11 pagi, semua peserta diarahkan ke tapak perkhemahan... sessi bakar lemang pun bermula... Zohor berjemaah... Hujan turun dengan begitu lebat, tapak pembakaran lemang dipindahkan ke bawah atap, dan pada jam 3.00 petang, lemang masak... masing-masing menjamu selera mengikut kumpulan masing-masing.

    Masuk waktu solat asar, solat didirikan, semua peserta diberikan kebebasan mengikut kumpulan masing-masing memilih tempat untuk persediaan persembahan. Masuk waktu solat maghrib, solat, rehat, solat isyak berjemaah, dan tibalah masanya, sessi persembahan, semasa itu juga, kem komandan dibantu beberapa urusetia membakar ayam BBQ. Penutup persembahan... Lakonan dari kem komandan sendiri yang berkisar kepada keadaan pelajar hafiz al-Quran mendapat tepuklan gemuruh dari semua peserta.

    Hari terakhir, tahajjud, subuh berjemaah, zikir mathurat, bersiap untuk pulang, ucapan penutup oleh kem komandan, pengarah KRIM (saudara Mohd Razib Abdul Rahim), sessi penyampaian hadiah dan bertolak pulang pada jam 11.00 pagi.

    Alhamdulillah... alhamdulillah.... alhamdulillah...

    Objektif kali ini lebih kepada pembinaan jatidiri seorang pemimpin, para peserta dikehendaki melepasi 70 % aktiviti fizikal dan 30 % aktiviti (ruuhi) rohani. Alhamdullillah semua peserta berjaya melepasi peratusan aktiviti dan berminat untuk kekal lebih lama di dalam mukhayyam ini. Satu perkara yang amat mengejutkan apabila kem komandan yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Al-Hadi dan ajknya bertanya "adakah kalian berminat untuk meneruskan mukhayyam seperti ini selepas ini?" mereka semua menjawab boleh!!!... boleh!!!...

    Sangkaan urusetia bahawa mungkin mereka semua tidak mahu lagi mengikuti program seperti ini meleset sama sekali. Inilah anak-anak bangsa Melayu yang tahu tujuan dan objektif kehidupan mereka. Sanggup menempuh cabaran dan dugaan demi memantapkan diri sebagai bakal pemimpin kepada anak bangsa serta generasi seterusnya.

    Media ISMA Kelantan

    P/s gambar-gambar akan dipublish selepas ini... nantikan!!!


    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net